
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Abdul Latiff Bandi berkata syarat baharu berbanding yuran pada masa ini hanya RM10,000 itu bertujuan memelihara kepentingan rakyat Johor.
Yuran pemprosesan antara empat hingga lima peratus nilai hartanah yang dibeli itu secara tidak langsung membolehkan kerajaan negeri mengawal penjualan hartanah kepada warga asing.
“Sebagai contoh, warga asing yang membeli hartanah bernilai RM5 juta, mereka hanya membayar RM10,000 sebagai yuran pemprosesan sebelum ini. Kini mereka perlu membayar berdasarkan nilai hartanah terbabit,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Seminar Industri Hijau 2013 di sini Isnin.
Katanya hasil yang diperoleh dari yuran tersebut akan digunakan bagi pembangunan rakyat.
“Kita akan bentangkan syarat baharu ini pada pembentangan belanjawan yang dijadualkan dalam tempoh terdekat ini,” katanya.
Kerajaan negeri juga katanya akan mengkaji semula kadar bayaran untuk mendapatkan Lesen Pendudukan Sementara (LPS) bagi tapak papan iklan.
Menurutnya terdapat lebih 1,000 papan iklan dalam 16 kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri ini dengan pemilik hanya perlu membayar sewa sebanyak RM100 bagi tapak terbabit untuk tempoh setahun.
Kenaikan itu nanti akan dibuat pada kadar berpatutan, katanya.
Sumber Tip : Drumah.com